English
  Sukan
 
 
-----------------------

Melaka Maju
2010

 Hari Lagi

-----------------------
 
Bandar Melaka Pagi : Baik - Petang : Ribut Petir - Malam : Baik
Suhu Min. : 24oC Suhu Max. : 32oC


Ramai Tidak Faham Teknik Menanganinya
STRESS PENYUMBANG MASALAH PERASAAN DAN EMOSI ABAD KE-21!

TEKANAN ataupun lebih dikenali dan sinonim dengan sebutan “Stress” merupakan satu perkara yang universal serta telah diakui menjadi faktor penting kepada penyumbang permasalahan perasaan dan emosi pada abad ke 21 ini.

Stress juga merupakan faktor pendorong kepada permasalahan Demensia (masalah mental) yang semakin berkembang di seluruh dunia. Malangnya, tidak ramai yang memahami apa itu sebenarnya yang dikatakan stress dan apakah cara dan teknik untuk mengatasinya.

Setiap insan yang dijadikan di muka bumi yang tercinta ini tidak ada seorang pun yang tidak pernah mengalami stress sama ada di dalam pekerjaan, keluarga, penbelajaran, di dalam kumpulan, organisasi, peperangan, cuaca, kos dan apa sahaja perkara yang boleh menjadi punca kepada tekanan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Setiap manusia pasti akan melalui atau merasai stress di dalam kehidupannya kerana manusia tidak sempurna dan tidak ada seorangpun yang tidak pernah menghadapi masalah.

Gejala stress boleh dikesan berlaku secara melalui gaya pertuturan dan komunikasi seseorang itu, terutama di kaunter-kaunter perkhidmatan yang perlu berhadapan dengan pelbagai karenah pelanggan. Stress juga boleh dikesan apabila seseorang itu melakukan sesuatu seperti melepaskan geram disebabkan sesuatu perkara.

Kadang kala stress itu dilepaskan ke tempat lain seperti daripada seorang boss kepada seorang pekerja dan daripada seorang bapa kepada seorang anak atau isteri.

Secara dasarnya, stress boleh didefinisikan sebagai satu keadaan kegagalan untuk bertindak balas dengan sepatutnya kepada keadaan yang menjadi punca tekanan sama ada emosi atau pun fizikal.

Dengan erti kata lain, individu yang mengalami tekanan akan memberi tindak balas yang berbeza daripada biasa dan lazimnya ia melibatkan kesan emosi seperti marah atau mudah “naik angin”.

Stress hendaklah di atasi dengan bijak kerana sekiranya ia tidak dapat dibendung dengan baik ia boleh menjadi lebih teruk lagi dan memberi kesan yang amat mendalam kepada emosi dan perasaan seseorang itu hingga ke satu tahap hingga sanggup melakukan perkara yang terkutuk dan dilarang seperti membunuh diri atau mengalami masalah mental.

Keadaan ini sepatutnya tidak boleh berlaku kerana seseorang yang mengalami tekanan hendaklah bijak menanganinya seperti mendapatkan pandangan pakar, teman rapat dan bertemu dengan kaunselor bagi mendapatkan pandangan serta meluahkan apa yang terbuku di hati.

Perkara yang kecil jangan di anggap tidak ada apa-apa, kerana permasalahan yang kecil jika dikumpul lama-kelamaan ia akan menjadi banyak dan menyebabkan bebanan kepada pemikiran dan seterusnya membawa kepada stress dan kemurungan.

Sekiranya malu dan segan untuk berjumpa kaunselor atau doktor, seseorang itu boleh menggunakan teknik penulisan di dalam diari atau paling tidak bercakap dengan sesuatu seperti kucing kesayangan atau bunga. Namun awas, jangan sampai bercakap berseorangan kerana secara tidak sedar anda telah mula berhalusinasi dan mungkin menjadi permulaan kepada permasalahan demensia.

Tekanan boleh berlaku dari pelbagai sudut seperti kesusahan hidup atau sebagainya. Bagi seseorang yang mempnyai keimanan yang tinggi dan ketabahan yang luarbiasa, mereka akan sentiasa tersenyum walaupun umum mengetahui bahawa beliau menghadapi tekanan yang tinggi dari segi emosi dan perasaan.

Oleh itu, jika menghadapi stress atau tekanan tariklah nafas yang dalam dan lapangkan fikiran dari segala permasalahan yang ada. Apa yang paling penting sekali adalah “Senantiasa Senyum” dan “rileks” serta “santai” kerana ia mampu melegakan hati yang bergelora dan menghindari daripada stress yang melanda jiwa dan perasaan.

Dr. Hans Hugo Bruno Selye ( 1907 – 1982) merupakan seorang pelopor teori tekanan. Beliau mengatakan bahawa stress juga mempunyai kesan positif dan negatif. Kesan positifnya adalah sebagai penggalak dan pendorong untuk mencapai kejayaan seperti di dalam pelajaran atau kerjaya. Bagaimanapun tekanan positif ini jarang dan tidak meninggalkan kesan negatif kepada minda dan fizikal.

Tekanan negatif pula melibatkan tekanan secara berpanjangan yang tidak dapat dikawal melalui penyesuaian diri atau adaptasi kepada keadaan sekeliling yang berlaku yang boleh membawa kepada perasaan resah dan kemurungan.

Sindrom atau tekanan selepas trauma (PTSD) yang membawa maksud tekanan yang dihadapi oleh seseorang itu akibat daripada kejadian dahsyat yang pernah berlaku seperti peperangan, pembunuhan, kemalangan atau apa sahaja kejadian yang boleh memberi impak tekanan tinggi terhadap minda dan emosi seseorang itu merupakan satu faktor yang amat sukar diatasi dan lazimnya ia berpanjangan dan memerlukan masa untuk pulih.

Antara kesan seseorang itu mengalami PTSD ialah menghadapi masalah tidur, perasaan takut atau fobia terhadap sesuatu perkara kesan daripada sejarah lampau, mudah marah, mengalami mimpi ngeri dan sebagainya.

Pelbagai cara dilakukan untuk mengatasi PTSD ini yang dilakukan oleh mereka yang pernah mengalaminya, dan jalan pintas yang sering menjadi pilihan adalah seperti mengambil alkohol atau najis dadah.

Ada pula di antara mereka yang hilang arah tujuan hidup dan menjadi pendiam dan murung. Satu kajian di Amerika Syarikat mendapati 300,000 tenteranya yang pernah terlibat dengan peperangan di Iraq atau Afghanistan mengalami masalah PTSD.

Stress juga boleh diumpamakan seperti “bom jangka” di dalam badan yang menanti masa untuk meletup dan meghasilkan kesan yang di luar jangkaan seperti perceraian, pembunuhan dan membunuh diri. Keadaan seperti ini lah yang perlu dan hendak dielakkan oleh semua pihak kerana tekanan yang “meletup” ini adakalanya ia bukan sahaja melibatkan diri individu itu sahaja tetapi ia melibatkan keadaan sekeliling seperti masyarakat dan pihak berkuasa.

Stress bukan sahaja membawa kesan kepada emosi tetapi ia juga boleh membawa kesan kepada fizikal seperti masalah strok, keletihan dan menjadi pasif serta tidak aktif. Stress juga boleh membawa penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung dan lelah.

Stress bukan sahaja memberi kesan kepada mental dan fizikal seseorang itu tetapi ia juga kini memberi kesan kepada faktor sekeliling seperti tidak mampu atau gagal untuk mengawal diri sendiri sehingga boleh membahayakan orang lain.

Amalkan cara hidup sihat kerana ia dapat membantu mengatasi tekanan. Mengikut satu kajian yang dijalankan di Sweden menunjukkan aktiviti sosial yang aktif dapat melindungi seseorang itu daripada demensia atau masalah mental.

Aktiviti sosial ini boleh dilakukan seperti aktiviti sukan, perkhemahan bersama rakan-rakan atau apa-apa aktiviti yang mengembirakan hati dan perasaan. Keadaan gembira boleh menghindar dari bebanan fikiran yang bercelaru dan berserabut kepada lebih rileks dan santai. Secara tidak langsung juga ia akan mengatasi masalah stress yang dihadapi.

Sentiasa berfikiran positif di dalam segala hal juga boleh menjadi “ubat” bagi mengatasi stress. Sekiranya menghadapi masalah kerja contohnya, sentiasa berfikir ini adalah dugaan terhadap kerjaya dan asam garam di dalam pekerjaan.

Tidak dinafikan seseorang itu akan menghadapi tekanan kerja yang begitu tinggi seperti berada di dalam “kebuk tekanan tinggi” sehingga boleh mencetuskan perbalahan dan perasaan tidak puas hati sesama rakan sekerja.

Namun, hendaklah berfikiran positif sentiasa dan jadikanlah anak-anak dan keluarga sebagai alasan kepada diri sendiri untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi tanpa mempedulikan tekanan atau apa pun yang orang lain ingin katakan. Apa yang penting adalah dengan pekerjaan tersebut dan gaji yang diperolehi adalah untuk menyara keluarga yang tercinta.

Manusia lazimnya akan menghabiskan separuh daripada hayatnya untuk belajar dan separuh lagi untuk bekerja. Kedua-dua perkara ini sememangnya memberi kesan terhadap setiap individu kerana di alam pembelajaran tekanan yang dihadapi adalah untuk mendapatkan keputusan yang baik dan cemerlang bagi menjamin masa hadapan yang terang dan gemilang. Manakala darisegi kerja pula bagi meneruskan kehidupan dengan bayaran gaji yang diperolehi bagi menyara diri dan keluarga.

Tidak ada seorang pun manusia di dunia ini yang boleh lari dari stress atau tekanan, namun cara untuk mengatasi stress ini sebenarnya berbeza di antara seseorang individu itu dan cara yang terbaik hanya diketahui oleh individu tersebut melalui aktiviti yang tertentu bagi melepaskan tekanan seperti bernyayi atau berkaraoke, pergi ke gym, bersenam, membaca atau apa sahaja cara dan teknik yang dirasakan sesuai untuk diri sendiri.

Seperti biasa, sebagai seorang muslim, solat merupakan teknik terbaik untuk mengatasi stress dengan berdoa dan bermohon kepadaNya. Amalan berzikir dan membaca Al-Quran merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menenangkan emosi dan perasaan yang bercelaru. Sesungguhnya, stress atau kemurungan boleh diatasi oleh setiap individu itu, apa yang penting adalah keinginan dan kesungguhan untuk berbuat demikian.

MALAYSIA BOLEH, MELAKA BOLEH!!!






  PENAFIAN : Melaka Hari Ini (MHI) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat atau gambar-gambar di dalam laman ini.