Lembaga Adat Melayu Senusantara
Mohd Ali Dilantik Ahli Dewan Penasihat Tertinggi BANDARAYA MELAKA, 2 Jun - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam merangkap Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) telah dilantik sebagai Ahli Dewan Penasihat Tertinggi Lembaga Adat Melayu Senusantara (LAMS), baru-baru ini.
Beliau yang diwakili Datuk Mohd Jamil Mukmin, selaku Naib Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan beberapa tokoh dunia Melayu juga turut dilantik sebagai Ahli Dewan Penasihat Tertinggi.
Pertama: Ketua Menteri Melaka; Kedua: Prof. Dr. Chairil Effendi, M.Si (Kalimantan Barat); Ketiga: Drs. Ismet Abdullah (Kepulauan Riau); Keempat Prof. Datuk Tan Sri Ismail Hussein (Kuala Lumpur); Kelima, Ir. H. Eko Maulana Ali, Msc (Bangka Belitung); Keenam, Datuk Suhailli A.Rahman (Labuan).
Dikuti yang Ketujuh adalah H.Edy R Yacob, M.Si (Singkawang), Kelapan H. Bando Amin C. Kadir, MM (Lampung), Kesembilan Ir. H. Burhanuddin Arasyid (Sambas), ke-10 Ria Noorsan, MM., MH (Mempawah), ke-11 H. Prabasa Anantatur, MH (Kalimantan Barat), ke-12 Hildi Hamid, BE (Kayong Utara).
Turut dilantik ialah H. Sutarmidji, SH., MHum (Pontianak), Ir. H. Setiman H. Sudin (Sanggau), H. Abang Imien Thaha (Kalimantan Barat), H. Darwin Muhammad (Kalimantan Barat) dan H. Sukiman, S.Pd (Melawi).
Majlis tersebut telah dihadiri oleh lebih 500 delegasi dari rantau Melayu termasuk wakil DMDI dari Malaysia, dan Singapura serta wakil-wakil dari rantau Indonesia.
Tujuan utama penubuhan Lembaga Adat Melayu Senusantara itu adalah untuk menyatukan bangsa Melayu dari segi kebudayaan, politik, ekonomi dan pelbagai bidang lain.
Ianya agar bangsa Melayu yang semakin ketinggalan ini dapat bersaing semula dan menjadi sebuah bangsa yang berjaya seperti masa dahulu.
Pelbagai acara telah diadakan sepanjang tiga hari berlangsungnya majlis pelantikan itu, antaranya deklarasi LAMS, seminar Melayu, pameran khazanah Melayu dan adat perkahwinan Melayu.
Sementara itu, Sekretariat Jeneral LAMS H. Morkes Effendi S.Pd,. MH. M telah merasmikan majlis tersebut sambil menyatakan, bangsa Melayu walaupun banyak terdapat di merata dunia, tetapi sering tertinggal di dalam pembangunan terutamanya pembangunan dari segi ekonomi.
"Ini menyebabkan bangsa Melayu sering terpinggir berbanding bangsa-bangsa lain. Justeru itu, diharapkan dengan adanya Lembaga Adat Melayu Serantau, budaya Melayu dapat diperkukuhkan, selain hubungan silaturrahim sesama Melayu dapat dieratkan di masa hadapan,” katanya.
|