100 Fakir Miskin Terima
Sumbangan Aidilfitri BISTARI
ALOR GAJAH, 4 September - Ahli-ahli Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) digesa bergerak lebih aktif dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Pengerusi BISTARI, Datin Seri Asmah Abdul Rahman berkata, ahli-ahi BISTARI perlu bergerak aktif dalam melakukan kebajikan.
"Pemberian sumbangan ini sebenarnya adalah satu simbol menandakan kesedaran dan keinsafan kita kepada nasib golongan yang memerlukan bantuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri BISTARI Melaka 2008 Peringkat Parlimen Alor Gajah di Dewan Masjid Ar-Rasyiddin, Alor Gajah.
BISTARI telah memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk diagihkan kepada fakir miskin dalam majlis tersebut.
Seramai 100 fakir miskin lelaki dan wanita dari Parlimen Alor Gajah hadir bagi menerima sumbangan berupa kain batik, kain pelikat, wang tunai dan kurma.
Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menghantar enam orang wakil.
Turut hadir, Isteri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datin Halimah Baba, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek, Datuk Abdul Ghafaar Atan, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan, Norpipah Abdol.
Asmah berkata, program tersebut bertujuan meraikan fakir miskin sekitar Parlimen Alor Gajah yang akan menyambut kedatangan Hari Raya tidak lama lagi.
"Usaha seumpama ini telah menjadi simbol kepada keutuhan masyarakat Malaysia termasuklah rakyat yang beragama Islam, yang mempunyai nilai murni yang sentiasa ingin membantu golongan yang tidak berkemampuan tampa mengira kaum," katanya.
Menurut Asmah, ianya juga supaya semua golongan masyarakat gembira di bulan Ramadan sebagai bulan rahmat untuk melakukan amalan dengan ganjaran berlipat ganda.
|