Selera Ramadhan Di MITC Ancasa Hotel
Beraneka Hidangan Berbuka Puasa Disediakan
AYER KEROH, 5 Sept - Biasanya pihak pengurusan hotel-hotel di negeri ini menyediakan hidangan berbuka puasa di bahagian lobi ataupun di ballroom, tetapi berlainan pula bagi pihak MITC Ancasa Hotel Melaka (Ancasa), di sini menyediakan juadah itu di perkarangan luar hotel.
Sebagai merancakkan kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini, MITC Ancasa telah mengambil kesempatan itu dengan mengadakan promosi bufet berbuka puasa bertemakan 'Jom Balik Kampung' yang diadakan di 'Bole-Bole Cafe' hotel itu, sekaligus mencari kelainan lain dari yang lain.
Antara kelainannya ialah kesemua hidangan juadah berbuka puasa itu ditempatkan di beberapa sudut luar perkarangan hotel, di mana para pengunjung boleh memilihnya mengikut citra rasa mereka dan akan menikmati makanan itu di bawah kanopi-kanopi tersedia.
Pelbagai juadah termasuk masakan tradisional dan masakan BBQ yang menyelerakan disajikan di situ dan para pengunjung boleh memilih apa saja makanan yang digemarinya, selain menikmati udara nyaman di bahagian perkarangan hotel tersebut.
Semasa waktu berbuka dan sambil menikmati juadah, para pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional dengan dendangan pelbagai lagu rentak asli hingga jam 9 malam.
Sambil menikmati juadah dan mendengar persembahan muzik tradisional, ketika itulah kita akan merasai suasana seperti tinggal di dalam kampung menghadiri majlis kenduri kahwin.
Sesuai dengan citra rasa pengunjung yang inginkan masakan panas selepas seharian berpuasa, beberapa gerai di situ turut menawarkan 'stesen memasak' secara langsung yang menyajikan pelbagai jenis pilihan masakan yang menyelerakan, di samping hidangan sudah sedia terletak dan boleh diambil pada bila-bila masa.
Deretan gerai di perkarangan hotel itu, bukan saja menawarkan masakan enak untuk berbuka puasa, malah suasana dan hiasan luar hotel itu begitu menarik dengan bermandikan cahaya lampu berwarna-warni yang menarik perhatian para pengunjung.
Pelbagai masakan tradisional termasuk lauk-pauk, kuih-muih dan masakan barat juga disediakan di hotel itu, tapi apa yang pasti, segala makanan yang dinikmati, anda tidak dapat melupakannya dan pasti anda akan datang lagi dengan membawa keluarga dan sahabat handai untuk berkunjung di MITC Ancasa.
Di samping itu, jangan lupa untuk mencuba daging kambing bakar yang disediakan kerana ia adalah antara sajian yang istimewa buat pengunjung, di mana selepas makan, para pengunjung boleh menjamah pelbagai jenis kuih-muih tradisional dan buah-buahan tempatan sebagai pencuci mulut.
Bufet berbuka puasa di MITC Ancasa Hotel bermula dari 1 hingga 28 Ramadhan 1429 dengan harga promosi setiap dewasa RM30, manakala kanak-kanak RM15 dan untuk tempahan boleh menghubungi di talian 06-231 7808 atau hubungi Operation Manager MITC Ancasa Hotel Melaka, Muhd Khairi di talian 016-661 5883.
|