Hari Potensi Tabika Kemas Kebangsaan 2009
Lebih 3,000 Kanak-kanak Tunjuk Bakat
MERLIMAU, 6 Jun – Lebih 3,000 kanak-kanak serta ibu bapa dari seluruh negara berkampung di Padang Politeknik Merlimau, dekat sini bagi menyertai Hari Potensi Diri Tabika Kemas peringkat kebangsaan.
Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri, Ahmad Fakhrul Azman Mohd Radzi, berkata Hari Potensi itu membabitkan empat acara sukan seperti Futsal, Bola Jaring, Galah Panjang, Rounders dan dua acara bakat iaitu Gerak Rama dan Silat.
Menurutnya, semua acara yang diadakan itu membabitkan penyertaan seramai 1,200 kanak-kanak tabika Kemas dari seluruh negara dengan 75 peserta mewakili untuk setiap negeri.
“Hari Potensi Tabika Kemas Kebangsaan 2009 merupakan aktiviti ko kurikulum yang dilaksanakan pada setiap tahun di peringkat daerah, parlimen, negeri dan kebangsaan dan dijalankan secara tahunan dengan tumpuan dalam acara bakat dan sukan.
“Sebelum 2004, Hari Potensi ini diadakan bersama dengan Hari Kemas peringkat kebangsaan, namun selepas itu ia ditambah baik dengan pengisian ko kurikulum untuk kanak-kanak tabika,”katanya.
Menurut Ahmad Fakhrul Azman, tujuan Hari Potensi diadakan adalah untuk mencungkil bakat dan kebolehan kanak-kanak pra sekolah, memupuk nilai-nilai murni, membina keyakinan diri, bakat dan kreativiti.
Katanya, ia juga adalah untuk memelihara nilai estetika serta menghargai warisan budaya di kalangan kanak-kanak pra sekolah disamping dapat mewujudkan integrasi antara pelbagai lapisan masyarakat.
“Selain acara sukan dan bakat, pada tahun ini juga akan diadakan penyampaian Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang, Pemaju Masyarakat Tabika Inovatif serta Anugerah Keindahan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) Tabika dan Taska.
“Tujuan tiga anugerah ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada Tabika dan Taska yang berjaya mewujudkan persekitaran premis yang ceria, selamat dan kondusif,”katanya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Seri Mohd Shafie Apdal dijadual akan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang acara sukan dan anugerah di majlis perasmian penutup malam ini di Dataran Pahlawan, Ayer Keroh. |