Program Amal “Happy Day” Rapatkan
Hubungan Pelajar Dan Masyarakat
BANDARAYA MELAKA, 6 September - Generasi kini yang prihatin mampu berhadapan dengan masyarakat sekeliling tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.
Dekan Sekolah Teknologi Media dan Seni, Mohamad Nawawi Saad berkata, aktiviti amal adalah satu aktiviti yang dapat merapatkan hubungan pelajar dengan masyarakat.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian program amal “Happy Day” di Zoo Melaka, di sini, baru-baru ini.
Program itu anjuran pelajar Diploma Teknologi Media pengkhususan Perhubungan Awam Kolej Yayasan Melaka (KYM), sebagai salah satu projek bagi kursus Public Relation Campaign II.
Seramai 75 peserta menyertai aktiviti amal diadakan di Zoo Melaka, dengan penglibatan 30 peserta dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak, The Salvation Army, Melaka.
Program tersebut adalah dengan kerjasama dengan Zoo Melaka, Ayer Keroh, Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang, Melaka dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak, The Salvation Army, Jalan Parameswara, Melaka.
Aktiviti amal itu telah bermula seawal jam 9.30 pagi dan turut dihadiri, Ketua Jabatan Media Sekolah Teknologi Media dan Seni, Abdul Malik Daud.
Antara aktiviti yang dijalankan pada hari itu adalah pertunjukan haiwan, mengelilingi Zoo Melaka dan pertandingan mewarna dan sukaneka.
Menurut Mohamad Nawawi, aktiviti seumpama itu mampu menyumbang kepada pembangunan minda anak-anak yatim dan secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
"Selain itu, aktiviti amal ini dapat melahirkan serta memupuk kasih sayang di kalangan para peserta yang menyertainya," katanya.
|