MPAG Utamakan Kepentingan Awam ALOR GAJAH, 8 Julai - Penyelenggaraan dan kemudahan awam adalah antara peranan yang difokuskan oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) selari dengan Dasar Belanjawan MPAG 2009, demi untuk kepentingan orang ramai.
Pengarah Kejuruteraan MPAG Mohd Razali Ithnin berkata, jabatan terbabit akan menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya untuk memberi perkhidmatan dan mutu kerja dengan lebih efisen.
Sementara itu, Yang Dipertua MPAG, Baharom Majid; turut menyarankan agar sistem penyampaian awam dapat dipertingkatkan di kalangan kakitangan majlis.
"Justeru, saya menyeru semua pegawai dan kakitangan supaya bersatu padu dan berkhidmat sebagai sebuah keluarga dalam MPAG," katanya di perhimpunan pagi oleh jabatan berkenaan di kawasan tempat letak kereta MPAG, dekat sini, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Baharom berkata, semua pegawai dan kakitangan MPAG akan diarah memakai pakaian batik korporat setiap hari Khamis pertama setiap bulan.
Pada majlis tersebut Baharom turut menyampaikan hadiah bagi program "Team Building" kepada kumpulan-kumpulan yang berjaya semasa program itu diadakan dari 26 hingga 28 Jun 2008.
Sebelum mengakhiri perhimpunan, Baharom turut menasihati semua kakitangan MPAG supaya berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah memandangkan kenaikan taraf ekonomi begitu mendadak pada masa kini.
Dalam perkembangan lain, Baharom berkata, pihak MPAG juga telah menjadi Johan Tandas Terbersih di daerah Alor Gajah dan tempat kedua di peringkat negeri Melaka.
Katanya, majlis penyampaian hadiah Kempen Tandas Bersih Tahun 2007 serta Pelancaran Pertandingan Kebersihan peringkat negeri Melaka itu telah diadakan pada 30 Jun 2008 yang lalu.
|