Pelita Penyeri Malam
Penduduk Bekerjasama Ceriakan Kawasan Taman
DUYONG, 2 Sept - Sempena bulan Ramadhan ini penduduk Taman Permatang Duyong Jaya bekerjasama menyalakan pelita di sepanjang jalan bagi menceriakan lagi suasana malam di kawasan perumahan tersebut.
Seramai 20 buah keluarga di taman berkenaan bersatu padu untuk menceriakan kawasan terbabit.
Idea tersebut datangnya dari persatuan penduduk di situ yang dipengerusikan oleh Hisham Abd Ghapor, 38 serta penasihat persatuan taman, Azmi Yahya, 47.
Hisham berkata, aktiviti itu telah dimulakan sejak dua tahun yang lalu dan ianya hasil kerjasama erat dari penduduk taman.
"Kerja-kerja pemasangan pelita ini adalah dilakukan sendiri oleh penduduk taman secara bergotong-royong," katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).
Selain itu, Hisham berkata, bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama penduduk, penduduk turut ada mengadakan aktiviti bacaan Yasin berkumpulan dari rumah ke rumah secara bergilir-gilir.
"Sementara itu, terbaru kami merancang mengadakan majlis rumah terbuka yang dijangka pada 19 Oktober depan," katanya lagi.
|