PBT Diminta Kaji
Kebocoran Paip Bawah Tanah
BANDARAYA MELAKA, 6 Jun - Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Krubong, Chong Yok Wait menyeru pihak berwajib supaya dapat mengkaji masalah paip bawah tanah yang bocor hingga menyebabkan kemalangan kepada beberapa pengguna lalulintas di kawasan itu kelmarin.
Chong ketika ditemui berkata, paip bawah tanah yang pecah kira-kira jam 6 pagi semalam menyebabkan jalan raya pecah dan runtuh hingga menghasilkan "lubang maut" yang dalam sambil dipenuhi air.
Menurutnya, mangsa pertama adalah penunggang motosikal yang jatuh ke dalam lubang berkenaan kira-kira jam 6.45 pagi.
"Selepas motosikal, sebuah kereta Produa Kancil pula turut terbenam di dalam lubang berkenaan,"katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Chong berkata, kejadian paip bawah tanah yang bocor dan merosakkan jalan raya, sekaligus mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya dan ini merupakan kejadian kali kedua berlaku.
"Justeru, saya mohon pihak berwajib agar lebih prihatin dengan masalah seumpama ini dan jika ianya berlaku lagi, mereka perlu meletakkan papan tanda awas, selain menutup jalan terbabit daripada dilalui pengguna jalan raya,"katanya lagi. |