Program Pengisian Ramadhan
INSENTIF TARIK REMAJA MENGIMARAHKAN MASJID
Masjid Tanah, 1 September - Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan insentif sebagai usaha menarik golongan remaja mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam diarah memperkenalkan insentif itu di kawasan masing-masing. Katanya, antara bentuk insentif yang dicadangkan itu ialah pemberian sehelai kain pelikat atau batik kepada remaja yang ke masjid sepanjang bulan Ramadhan ini.
Beliau berkata, Melaka mempunyai 300 masjid dan jika ibu bapa serta jawatankuasa masjid di sesuatu kariah dapat mengumpul 100 remaja, bererti 30,000 remaja dapat dikumpulkan satu malam. "Oleh itu setiap ADUN perlu melihat perkara ini dan memberi insentif sebagai galakan kepada mereka mengimarahkan masjid.
"Penyampaian insentif ini boleh dilakukan selepas sunat tarawih dan sebelum itu, ceramah agama atau tazkirah boleh dibuat sebagai usaha menanam kesedaran dan ketaqwaan di kalangan remaja terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pelancaran Taqarrub Ramadhan 2008 Peringkat Negeri di Masjid Sungai Tuang, di sini, malam tadi.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Omar Kaseh, EXCO Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
Program Taqarrub Ramadhan diperkenalkan sejak 1982 bertujuan mengimarahkan masjid pada bulan Ramadhan di samping menyampaikan taklimat isu semasa kepada masyarakat serta mengeratkan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat setempat.
Mengenai program Taqarrub Ramadhan, Ketua Menteri berkata, ia adalah program yang berjaya dibuat sepanjang bulan Ramadhan. "Setakat ini Melaka boleh berbangga kerana program ini dapat dihayati sepenuhnya oleh jemaan selepas sembahyang sunat tarawih. Usaha seperti ini perlu diteruskan," ujar Mohd Ali.
|