English
  Sukan
 
   
 
-----------------------

Melaka Maju
2010

 Hari Lagi

-----------------------
 
Bandar Melaka Pagi : Baik - Petang : Hujan - Malam : Baik
Suhu Min. : 24oC Suhu Max. : 32oC
 

Tarik Pasaran Domestik, Asia Pasifik
MELAKA PUSAT SELENGGARA PESAWAT UNGGUL - MOHD ALI

BATU BERENDAM, 2 Julai - Melaka berpotensi menjadi pusat penyelenggaraan kapal terbang seperti Airbus dan Boeing serta helikopter bagi keperluan permintaan pelanggan domestik dan Asia Pasifik dengan menjadikan lokasi berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai hub industri berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pembinaan hangar penyelenggaraan helikopter dan pesawat milik Solid Partners Sdn Bhd di tapak seluas 10 ekar berhampiran LTAM mampu menjana perkembangan industri penyelenggaraan pesawat di negeri ini.

"Ia merupakan hangar penyelenggaraan pesawat dan helikopter pertama di Melaka berhampiran LTAM dan kewujudan industri ini pastinya mampu menjadikan Melaka sebagai hab penyelenggaraan pesawat bagi kawasan Selatan dan Asia Pasifik pada masa depan," kata beliau.

Ketua Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek fasa pertama hangar pesawat milik Solid Partners Sdn Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Yunos Husin; ADUN Ayer Limau, Amiruddin Yusof; Pengarah Pembangunan Perniagaan, Solid Partners Sdn Bhd, Kapten (B) Goh Lee Heo dan Pengarah Solid Partners Sdn Bhd, Brig. Jeneral (B) Dato' Mohd Hashim Abu.

Mohd Ali memberitahu, Solid Partners Sdn Bhd dijangka melabur kira-kira RM60 juta, membabitkan empat fasa projek pembinaan hangar.

Katanya, fasa pertama yang mampu memuatkan empat helikopter pada satu-satu masa dijangka siap pada 26 Julai ini dan beroperasi sepenuhnya mulai Ogos depan sebaik sahaja segala peralatan penyelenggaraan pesawat siap dipasang.

Mohd Ali menambah, selain terlibat dengan kerja-kerja penyelenggaraan pesawat dan helikopter, syarikat berkenaan juga turut membekal beberapa peralatan untuk helikopter TUDM.

"Saya harap ini akan menjadi satu permulaan baru kepada industri perkhidmatan penyelenggaraan pesawat dan helikopter di Melaka sejajar dengan kedudukan negeri ini yang juga menjadi lokasi utama pengeluaran untuk beberapa komponen untuk Airbus dan Boeing oleh CTRM.

"Saya juga difahamkan, setakat ini perniagaannya (Solid Partners) sudah mencecah RM40 juta setahun dan syarikat ini juga turut mempunyai rangkaian pelanggan dan perniagaan yang mantap dengan di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Sementara itu, Goh memberitahu, syarikatnya dijangka membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 300 hingga 400 orang untuk tempoh 10 tahun akan datang, khususnya pekerja-pekerja mahir seperti jurutera mekanikal dan elektrikal berkaitan industri penerbangan.

"Kita sebenarnya banyak bekerjasama dengan syarikat-syarikat dari luar negeri yang memiliki kepakaran dan berteknologi tinggi. Mereka pada dasarnya juga bersetuju untuk menyerapkan kepakaran yang dimiliki bagi membantu mengembangkan industri penyelenggaraan pesawat di Melaka," ujarnya.

Katanya, Solid Partners Sdn Bhd juga akan berusaha membangunkan kepakaran tempatan dalam indiustri ini untuk digabungkan dengan kepakaran luar negeri.

"Kita juga turut merancang agar syarikat-syarikat antarabangsa yang terlibat dengan industri penerbangan menjadikan Melaka sebagai pengkalan kerja-kerja penyelenggaraan pesawat yang unggul," kata Goh.

Katanya lagi, setakat ini hanya terdapat sebuah pusat penyelenggaraan pesawat di Malaysia iaitu Airod di Subang.

"Pasaran industri ini amat besar. Kalaupun tidak dapat menandingi Airod, sekurang-kurangnya kita berusaha menyediakan perkhidmatan yang standing dengan Airod," jelas beliau.









  PENAFIAN : Melaka Hari Ini (MHI) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat atau gambar-gambar di dalam laman ini.