Tumpukan Perkara-Perkara Asas
UMNO & BN PERLU DIPERKASAKAN- Mohd Ali
BUKIT BERUANG, 2 Sept - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu diperkasakan serta diperkukuhkan lagi dengan meletakkan kedudukan UMNO sebagai parti yang menguasai Kerajaan.
Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menegaskan, ini adalah antara agenda penting yang perlu segera dilakukan, selain melaksanakan usaha menyemarakkan lagi kegiatan-kegiatan parti kepada perkara-perkara asas.
"Perkara asas itu adalah seperti membela rakyat di semua peringkat, termasuk membela kemiskinan sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam bajet 2009, baru-baru ini.
"Dalam Bajet 2009, mereka yang pendapatan kurang RM720 boleh memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ini selaras dengan saranan yang telah dibuat oleh UMNO di peringkat Cawangan, Bahagian dan Badan Perhubungan Negeri.
"Perkara berkenaan telahpun dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) supaya membela nasib golongan miskin ini sepatutnya menjadi keutamaan Kerajaan.
"Alhamdulillah, nampaknya perkara itu telahpun diterima oleh Kerajaan dan telah pun dimasukkan ke dalam Bajet 2009 yang diumumkan baru-baru ini," jelasnya.
Mohd Ali berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Ramadhan dan Syawal kepada Fakir Miskin, Warga Emas dan Anak-anak Merdeka anjuran UMNO Bahagian Bukit Katil, yang diadakan di Masjid Tun Syed Ahmad Shahabuddin, di sini, petang tadi.
Ujarnya, ada banyak lagi keputusan parti yang perlu dilaksanakan Kerajaan, dengan ini barulah parti dapat melakukan pelaksanaannya dengan berkesan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh rakyat pada pilihan raya lalu.
"Oleh itu, kita berharap supaya UMNO dapat menyemarakkan lagi kegiatan seumpama ini, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini sepertimana yang telah dilaksanakan pada hari ini," jelas beliau lagi.
Justeru, katanya, UMNO Melaka mempunyai banyak program yang telah diaturkan, di peringkat Negeri ada dua program yang besar iaitu program Musabaqah Al-Quran serta program bantuan kebajikan, manakala di peringkat Bahagian dan Cawangan diharap dapat menemui semua keluarga miskin di kawasan mereka.
"Kita jangan tunggu orang miskin cari kita, tetapi kita mesti mencari orang miskin dan OKU. Dasar sudah jelas dan peruntukan sudah ada, jadi tidak ada sebab masih ada orang miskin yang tertinggal.
"Semua Ketua UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat Cawangan mesti turut padang dan berjumpa keluarga-keluarga miskin untuk didaftarkan dengan JKM supaya mereka mendapat bantuan yang sepatutnya sepertimana yang telah diperjuangkan oleh parti dan dipersetujui oleh Kerajaan," tegasnya.
Tambahnya, jika JKM mempunyai program mencari golongan ini, UMNO mempunyai program 'Pergi Mencari' golongan miskin ini, jangan nanti adanya orang miskin di kawasan sendiri, JKM pula hendak disalahkan, ianya perlu dilaksanakan dengan segera.
Turut hadir pada majlis itu, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Osman Mohamad dan isteri, Datin Halimah Baba; Exco-exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta para jemputan.
|