Agenda Membasmi Kemiskinan
PASTIKAN TIADA LAGI RAKYAT TERCICIR-KM
ALOR GAJAH, 4 Sept - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahu memastikan tiada golongan miskin di negeri ini yang tercicir dalam arus pembangunan negeri menjelang Melaka Maju 2010, yang hanya tinggal tidak sampai 500 hari sahaja lagi.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah melakukan pelbagai usaha termasuk menyalurkan bantuan kebajikan bulanan serta memberi pekerjaan kepada mereka bagi memastikan golongan tersebut terkeluar daripada garis kemiskinan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengarahkan setiap pemimpin parti itu di peringkat cawangan mengenalpasti kemungkinan masih ada lagi golongan miskin di negeri ini yang berpendapatan dibawah RM740 sebulan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri mahu memastikan tidak ada lagi golongan seumpama itu selepas usaha mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
"Itulah yang sepatutnya berlaku di negeri ini, kalau masih ada lagi golongan ini yang tertinggal, maka ianya menjadi tugas Ketua-ketua UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri untuk mengenalpasti mereka mulai sekarang, tidak mahu lagi ada yang tertinggal," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Ramadhan dan Syawal anjuran Badan Perhubungan UMNO negeri Melaka peringkat Parlimen Alor Gajah di perkarangan Masjid An-Nur, Kampung Beringin dekat sini, petang semalam.
Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Asmah Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Rembia, Norpipah Abdol; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek Negeri merangkap ADUN Gadek, Datuk Abdul Ghafaar Atan; ADUN Durian Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Hasim Ismail.
Pada majlis itu seramai 366 orang terdiri fakir miskin, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta ibu tunggal dalam Parlimen Alor Gajah telah menerima sumbangan termasuk lebih 50 Pengerusi-pengerusi masjid juga menerima sumbangan utiliti bagi membayar bil elektrik dan air di masjid yang mereka tadbir.
Mohd Ali berkata, sebelum ini, bagi mereka yang menerima bantuan sehingga RM430 sebulan untuk sesebuah keluarga, kerajaan telah memberikan pekerjaan dengan gaji RM300 hingga RM400 sebulan, untuk bekerja selama 4 jam sehari dengan gaji RM3.50 sejam.
"Ini membolehkan mereka memperolehi pendapatan lebih RM740 sebulan, ini bermakna dari segi pendapatan bulanan sesebuah keluarga di negeri Melaka telahpun melepasi RM740, sekali gus membolehkan pendapatan setiap keluarga tidak lagi dibawah RM740 sebulan,'' katanya.
Ketua Menteri berkata, ekoran daripada langkah yang dilaksanakan kerajaan negeri itu, Melaka tidak lagi mempunyai kemiskinan tegar.
Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, seramai 7,181 orang menerima bantuan daripada jabatan itu dan daripada jumlah itu, seramai 5,085 orang terdiri daripada orang-orang Melayu di ikuti Cina 1,229 orang, India 819 orang dan lain-lain bangsa seramai 49 orang.
|