Penghargaan Terhadap Pemimpin Negara
Melaka Tukar Nama Dua Batang Jalan
PERINGGIT, 6 Sept - Kerajaan Negeri hari ini melancarkan penukaran nama dua jalan di negeri ini bagi memperingati dan sebagai mengenang jasa bekas-bekas Perdana Menteri dan pemimpin negara yang telah banyak berjasa kepada negara.
Kedua-dua jalan itu ialah Jalan Batu Berendam ditukarkan kepada Jalan Tunku Abdul Rahman - Batu Berendam dan Leboh Ayer Keroh menjadi Jalan Tun Abdul Razak - Ayer Keroh.
Serentak dengan itu juga, persimpangan kedua-dua jalan tersebut di Peringgit dinamakan Persimpangan Tun Abdul Ghafar.
Pelancaran nama-nama jalan dan persimpangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Berucap pada majlis itu, Mohd Ali berkata, rakyat khususnya jenerasi sekarang perlu menghargai segala jasa bakti pemimpin-pemimpin negara itu kerana mereka telah meletakkan negara dan negeri dalam keadaan selamat, aman dan makmur.
Tunku Abdul Rahman telah berjaya membawa kemerdekaan kepada negara ini 51 tahun lalu, dan Jalan Batu Berendam dilalui oleh Perdana Menteri Malaysia Pertama itu selepas mendarat di Lapangan Terbang Batu Berendam untuk ke Banda Hilir, sekembalinya beliau dari London, bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.
Manakala Tun Abdul Razak, yang juga digelar Bapa Pembangunan Negara telah banyak membawa pembangunan kepada Malaysia semasa era beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Beliau dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab dalam melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971.
Tun Abdul Ghafar pula adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Melaka yang kedua dan yang pertama dipilih oleh rakyat. Beliau juga merupakan pemimpin yang paling lama berkhidmat dalam kerajaan semenjak terpilih memenangi pilihanraya yang pertama pada tahun 1955 dan banyak berjasa kepada negara ini.
Mohd Ali berkata, dengan penukaran nama jalan-jalan tersebut bermakna lengkaplah nama ketiga-tiga pemimpin negara tersebut.
``Saya percaya jalan ini akan mempunyai makna yang besar dan seharusnya diingati dari generasi ke satu generasi dan ianya menjadi lebih bermakna apabila diadakan sempena bulan kemerdekaan pada tahun ini," katanya.
Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Latiff Tamby Chik; barisan Ahli-ahli Exco dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Yusof Jantan; Pengarah Kejuruteraan MBMB, Ir. Rafiee Mamat; Ahli dan Pegawai Kanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
|