Mahu Kekal Ikon Pelancongan
MELAKA BELI EYE ON MALAYSIA
KRUBONG, 9 Feb- Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan mengarahkan agensi kerajaan negeri atau Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPNM) berunding dengan Fitraco NV untuk membeli Eye On Malaysia (EOM) supaya 'roda gergasi' tersebut terus kekal menjadi ikon pelancongan di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam berhubung status Eye On Malaysia.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri mahu Eye On Malaysia kekal di negeri ini kerana ia adalah antara ikon kepada pelancong yang melawat Melaka di samping menjamin kesinambungan peluang pekerjaan kepada 47 kakitangannya iaitu empat di peringkat pengurusan dan bakinya 43 lagi kakitangan sokongan.
"Kerajaan negeri melalui agensi atau anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka akan diminta berunding dengan Fitraco Bank untuk membeli Eye On Malaysia. Pembelian ini akan dibuat sama ada melalui runding terus atau sebut harga (tender) yang akan ditetapkan kemudian oleh Fitraco Bank," kata Mohd Ali dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Hang Jebat, petang tadi.
Sebagai produk pelancongan, Ketua Menteri berkata Kerajaan negeri yakin Eye On Malaysia yang mula beroperasi sejak 7 November 2008 akan menjadi tarikan utama pelancong apabila mereka berkunjung ke negeri ini.
Beliau memberitahu, bilangan pengunjung yang menaiki Eye On Malaysia bagi tempoh Januari hingga Disember 2009 adalah seramai 596,479 orang dengan jumlah kutipan mencecah RM5.9 juta dengan purata 49,000 pengunjung sebulan atau 1,600 sehari.
"Justeru, kerajaan negeri optimis pihak Fitraco Bank akan memberi peluang kepada Kerajaan negeri untuk membeli Eye On Malaysia walaupun jika ada pihak lain atau negara lain yang berminat membelinya," ujar Mohd Ali.
Katanya lagi, kerajaan negeri lega kerana proses mahkamah telah selesai dan perundingan dengan agen Fitraco Bank akan dibuat secepat mungkin bagi membolehkan operasi Eye On Malaysia dapat diteruskan seperti biasa.
Di Kuala Lumpur semalam, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pemilik asal Eye On Malaysia, Fitraco NV dari Belgium untuk mengeluar dan memindahkan roda gergasi itu dari Muara Sungai Melaka.
Dengan perintah tersebut bermakna, Fitraco NV selaku plaintif boleh membuat apa sahaja termasuk menjual roda gergasi itu selepas mengambilnya balik daripada pemilik roda tersebut di negara ini, Eye On Malaysia Sdn Bhd.
|