English
Sukan    
 
-----------------------

Melaka Maju
2010

 Hari Lagi

-----------------------
 
 
Bandar Melaka Pagi : Baik - Petang : Baik - Malam : Baik Suhu Min. : 24oC Suhu Max. : 32oC
 

Kejayaan Besar Bagi Malaysia
MAMPU MEMPERTAHANKAN WARISAN BANGSA DAN NEGARA

BANDARAYA MELAKA, 8 Julai - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan pemilihan bandaraya Melaka dan Georgetown sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan kepada negara ini.

Beliau berkata, pengiktirafan itu tentu mengembirakan semua pihak kerana ia akan meletakkan nama Malaysia dalam senarai peta dunia sebagai Bandaraya Warisan Dunia, setanding dengan bandaraya bersejarah lain di seluruh dunia.

Katanya, pengiktirafan itu diisytiharkan di hadapan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia yang menyertai Persidangan Ahli Warisan Dunia ke-32 di Quebec City, Kanada yang disertai 21 ahli negara UNESCO, kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan, semalam.

Melaka diwakili oleh Ketua Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Seet Har Cheow dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Yusof Jantan.

Dalam satu kenyataaan yang dikeluarkan di sini, hari ini, Ketua Menteri berkata, pengiktirafan badan dunia itu adalah satu penghargaan terhadap usaha berterusan kerajaan Negeri Melaka mengekal dan memulihara bangunan serta tapak warisan sejarah sejak 500 tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada UNESCO kerana memberi pengiktirafan ini selepas kita melobi hampir tujuh tahun sejak 2001 untuk disenaraikan sebagai Bandaraya Warisan Dunia.

``Sebelum saya menghadiri persidangan ini, saya optimis Melaka akan mendapat pengiktirafan selepas semua kriteria dan ketetapan yang diperlukan oleh UNESCO, telah kita penuhi.

"Melaka akan terus menjadi tarikan dan destinasi pelancongan yang unggul pada masa depan sama ada oleh pelancong domestik atau asing. Sudah pasti selepas ini, ia akan membawa jutaan pelancong ke negara kita khususnya Melaka dan Georgetown." katanya.

Beliau berkata, ini kerana publisiti akan diberi setiap hari oleh UNESCO dan berikutan itu, banyak peluang ekonomi yang diperolehi hasil daripada pengiktirafan ini.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus menggunakan kekuatan sektor pelancongan untuk menjana pendapatan penduduk sebagai langkah menangani krisis kemelesetan ekonomi global.

"Dengan jumlah kedatangan pelancong yang meningkat, ia dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaaan dan perkhidmatan kepada rakyat Melaka. Satu mercu tanda akan dibina dalam kawasan warisan di Melaka.

"Selain itu, sambutan sempena pengiktirafan ini juga akan diadakan yang akan ditetapkan kemudian. Pengiktirafan ini meletakkan negara kita setanding dengan Bandaraya Warisan Dunia yang lain," katanya.

Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kerajaan Negeri, Perzim, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan semua pihak yang telah bekerja keras bagi mendapat pengiktirafan itu.

Katanya, pengiktirafan ini akan dipantau oleh UNESCO kerana Melaka dan Georgetown akan menjadi tumpuan pelancong dan pakar-pakar penyelidik pembangunan Bandar Warisan Dunia.

Sebelum ini, Taman Hutan Negara Mulu di Sarawak dan Taman Negara Kinabalu di Sabah telah mendapat pengiktirafan tersebut.







PENAFIAN : Melaka Hari Ini (MHI) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat atau gambar-gambar di dalam laman ini.