2 September Di Masjid Bukit Beruang
Kerajaan Negeri Akan Raikan 'Anak Merdeka'
BANDARAYA MELAKA, 31 Ogos - Kerajaan Negeri Melaka mempelawa mereka yang lahir pada 31 Ogos supaya menghadiri majlis khas untuk meraikan mereka yang bergelar 'anak merdeka' sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan Negara yang ke-51 tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, majlis tersebut adalah bagi mengumpulkan anak-anak merdeka dalam satu tempat untuk memberi peluang kepada kerajaan negeri bagi meraikan mereka.
"Majlis untuk meraikan golongan itu akan diadakan di Masjid Bukit Beruang pada Selasa ini (2 September) bermula jam 6 petang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama isterinya, Datin Seri Asmah Abd. Rahman dan menyampaikan sumbangan hamper serta wang tunai kepada 'bayi merdeka' di Hospital Melaka (HM), hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad bersama isteri, Datin Halimah Baba ; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Omar Kaseh; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab.Karim Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Negeri, Norpipah Abdol.
KEPADA ANAK-ANAK MERDEKA YANG BERHASRAT MENYERTAI PROGRAM INI BOLEHLAH MENGHUBUNGI PEGAWAI PEMBANGUNAN NEGERI ( 012- 414 0369) ATAU KETUA PUTERI UMNO NEGERI MELAKA, MASERMAYANTI SAMSUDIN ( 012- 635 3330)
Dalam majlis tersebut, kakitangan HM turut meraikan Ketua Menteri sempena menyambut ulang tahunnya baru-baru ini.
"Saya harap mereka yang lahir pada 31 Ogos, tanpa mengira status, umur dan agama dapat hadir dalam majlis tersebut, di mana ianya khusus yang bergelar anak merdeka," katanya.
Mohd Ali berkata, RTM Melaka telah dilantik sebagai sekretariat bagi melancar dan memudahkan urusan pendaftaran.
"Lebih 100 anak merdeka yang dijangka hadir dan mereka boleh bawa keluarga masing-masing untuk memeriahkan sambutan itu," katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan menyampaikan hadiah istimewa kepada anak merdeka dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang lahir pada 31 Ogos.
"Tidak kira mereka tinggal di negeri ini atau tidak, yang pasti, jika dia berada di Melaka pada 2 September, datang beramai-ramai ke majlis istimewa ini," katanya.
|