Kuota Diesel Tak Cukup
Tiada Bas Tambahan Untuk Hari Raya Aidilfitri
PERINGGIT, 5 Sept- Syarikat-syarikat bas ekspres yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Melaka, tidak akan menyediakan sebarang perkhidmatan bas tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri ini walaupun Kerajaan membenarkan mereka mengenakan surcaj 30 peratus berkuatkuasa 15 September ini.
Pengerusinya, Razali Endun berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan kuota diesel yang diberikan kepada pengusaha bas adalah tidak mencukupi, lebih-lebih lagi sekiranya perlu diadakan perkhidmatan bas tambahan.
Katanya, beliau turut difahamkan pengusaha-pengusaha bas ekspres yang lain juga tidak akan menyediakan sebarang perkhidmatan bas tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Menggunakan salah satu syarikat gergasi bas ekspres sebagai contoh, beliau berkata, syarikat tersebut tidak akan menyediakan perkhidmatan bas tambahan walaupun tiket ke Pantai Timur telah habis dijual tidak sampai sehari selepas dibuka untuk tempahan.
“Masalah kami adalah kuota diesel. Kuota yang diberikan sekarang tidak mencukupi. Walaupun kami telah lama memohon untuk kuota 100 peratus, namun masih belum ada sebarang keputusan yang positif,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kelulusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi membenarkan pengusaha bas mengenakan surcaj 30 peratus ke atas harga tiket bas ekspres dan bas henti-henti bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 15 Sept ini.
Pada masa ini, sebanyak 10 pengusaha bas henti-henti dan tiga syarikat bas ekspres bernaung di bawah Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Melaka. Syarikat bas ekspres yang bernaung di bawah persatuan tersebut adalah Melaka-Singapura Ekspres, SKA Ekspres dan Jebat Ekspres.
Menurut Razali, kuota diesel yang diperuntukkan untuk bas ekspres adalah sebanyak 300 liter sehari, manakala untuk bas henti-henti adalah 200 liter.
Katanya, untuk bas ekspres, 300 liter adalah tidak mencukupi untuk kegunaan sehari memandangkan jarak yang terpaksa dilaluinya, termasuk jumlah perjalanan dalam sehari.
“Sekiranya kuota ini telah dicapai, sebarang pembelian diesel akan menggunakan harga pasaran. Ini akan membebankan para pengusaha bas, lebih-lebih lagi kalau mereka terpaksa menyediakan perkhidmatan bas tambahan.
“Satu liter bukannya banyak. Ini bas, bukan kereta. Sekali enjin dihidupkan jumlah diesel yang digunakan pun banyak,” tambah beliau.
|