• Sejarah penubuhan akhbar rasmi kerajaan negeri bermula dengan akhbar Suara Melaka yang telah diterbitkan bermula 8 Mei 1982. Beberapa wartawan ketika itu telah mencetuskan idea bagi mewujudkan akhbar Suara Melaka. Mereka ialah Datuk Othman Mohamad, Abdul Hamid Jumahan, Ahmad Janis, Allahyarham Yusof Malik dan Allahyarham Pakir Mohamad Abdullah.
  • Ketua Pengarang pertama ialah Datuk Othman Mohamad dan nama Suara Melaka diilhamkan oleh Abdul Hamid Jumahan atau dikenali Hamid Jins dari TV3. Pada Februari 1986 Allahyarham Salim Kassim telah mengambil alih tugas sebagai Ketua Pengarang.
  • Akhbar Suara Melaka telah diterbitkan pada setiap bulan dengan cetakan sebanyak 20,000 naskah setiap bulan dan diberi secara percuma kepada orang ramai. Akhbar rasmi kerajaan negeri menerima perubahan drastik yang tidak dijangka oleh sesiapa apabila yang amat berhormat Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menerajui negeri Melaka.
  • Suara Melaka berubah wajah dan konsep pada 1 Julai 2000. Perubahan ketara akhbar ini, ialah ia diterbitkan pada setiap minggu dan ia dijual pada harga RM1 setiap naskah dan dicetak sebanyak 5,000 naskah setiap minggu dan dikenali sebagai Mingguan Melaka. Encik Ishak Mohamed Salleh telah dilantik sebagai Ketua Pengarang.
  • Pada 1 Januari 2002 akhbar rasmi kerajaan ini menerima satu lagi perubahan dari Mingguan Melaka ke Melaka Minggu Ini dan diletakkan di bawah pengurusan penerbitan IKSEP Sdn. Bhd. Encik Ishak Mohamed Salleh juga dilantik sebagai pengurus penerbitan IKSEP Sdn. Bhd.
  • Mulai November 2003 Melaka Minggu Ini diterbitkan dua kali seminggu iaitu pada hari Ahad dan Khamis.
  • Manakala pada 1 Disember 2004 pentadbiran Melaka Minggu Ini, penerbitan IKSEP Sdn. Bhd. dan diletakkan di bawah Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia berpindah pejabat ke Institut Pengurusan Melaka (IMM) di Batu Berendam dan Encik Akhbar Ali dilantik sebagai Ketua Pengarang Eksekutif.
  • Bermula 1 Julai 2005 Akhbar Melaka Minggu Ini berubah wajah menjadi Melaka Hari Ini dengan diterbitkan 7 hari seminggu. Setiausaha Penerbitan Kepada YAB Ketua Menteri Melaka, Abdul Hamid Mohammad dilantik sebagai Ketua Pengarang Eksekutif.