English
  Sukan
 
   
 
-----------------------

Melaka Maju
2010

 Hari Lagi

-----------------------
 
Bandar Melaka Pagi : Baik - Petang : Hujan - Malam : Baik
Suhu Min. : 24oC Suhu Max. : 32oC
 

Boling Piala Dunia Qubica AMF, MITC Bowlplex
180 JUARA BAKAL BERENTAP

AYER KROH : SERAMAI 180 juara boling dari 90 negara, termasuk sembilan pemain terkemuka dunia, mengesahkan penyertaan di Kejohanan Boling Piala Dunia Qubica AMF ke-45, di Kompleks MITC Bowlplex, di sini dari 14 hingga 21 November ini.

Pemain terbabit seorang lelaki dan wanita adalah juara-juara di negara masing-masing dan akan menyertai kejohanan yang pertama kali diadakan di Malaysia, sejak 28 tahun lalu.

"Pemain-pemain terbabit adalah juara di negara masing-masing dan mereka sudah pun mengesahkan penyertaan sejak surat tawaran dihantar kepada mereka dua bulan lalu," kata Penasihat Benua Aspirasi Sdn Bhd yang mengendalikan operasi kompleks terbabit, Wan Ahmad Lotfi Datuk Wan Ibrahim, kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Kali pertama dan terakhir kejohanan itu diadakan di negara ini ialah di Mirama Bowl, Kuala Lumpur pada tahun 1981 dan Malaysia, khususnya Melaka, dipilih menjadi tuan rumah oleh Qubica AMF setelah mengetepikan saingan dari Thailand dan Filipina.

"Kita dipilih berdasarkan dua faktor utama iaitu Melaka sebagai destinasi pelancongan utama dunia dan kompleks ini mempunyai peralatan, lorong boling dan sistem terkini serta tercanggih di dunia," katanya.

Kompleks serba moden ini yang memuatkan 52 lorong iaitu yang terbesar di Asia Tenggara mula dibina pada tahun 2008 dengan kos berjumlah RM25 juta.

Ia kini siap 95 peratus dan dijangka dibuka pada 16 Julai bagi tujuan ujian dan penyesuaian permainan sebelum dirasmikan 1 Ogos depan.

"Orang ramai berpeluang beraksi di kompleks ini selama dua minggu secara percuma dari 16 Julai dan mereka boleh memberi maklum balas kepada kami mengenai lorong boling dan kompleks terbabit," katanya.

Antara objektif utama pembinaan kompleks ini adalah untuk mempromosikan Melaka sebagai pusat boling utama di Malaysia dan Asia Tenggara dan sukan ini boleh menjadi produk baru berasaskan pelancongan di negeri ini.

Ia juga menawarkan pelbagai kemudahan lain kepada pengunjung seperti ruang perniagaan, aktiviti riadah dan pusat menjamu selera.





  PENAFIAN : Melaka Hari Ini (MHI) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat atau gambar-gambar di dalam laman ini.